Memaparkan catatan dengan label Koleksi Fatwa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Koleksi Fatwa. Papar semua catatan

20 Jun 2010

Hukum Wanita Haid Memasuki Masjid Untuk Tujuan Pembelajaran Semata-Mata


Sumber:
JAKIM(http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/wanita-haid-memasuki-masjid-untuk-tujuan-pembelajaran-semata-mata)
Tarikh Keputusan:
19 Sep, 2000
Tarikh Mula Muzakarah:
19 Sep, 2000
Tarikh Akhir Muzakarah:
19 Sep, 2000
Oleh:
Muzakarah Kali Ke-49
Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-49 yang bersidang pada 19 Sep 2000 telah membincangkan Wanita Haid Memasuki Masjid Untuk Tujuan Pembelajaran Semata-Mata. Muzakarah telah memutuskan bahawa perempuan yang dalam keadaan haid haram berada/duduk di dalam masjid walaupun untuk tujuan pembelajaran dan program-program keagamaan.

18 Jun 2010

Hukum Suntikan Botulinum Toxin Type A (BTA)-Botox


Sumber:
JAKIM(http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-suntikan-botulinum-toxin-type-bta)
Tarikh Keputusan:
4 Apr, 2006
Tarikh Mula Muzakarah:
4 Apr, 2006
Tarikh Akhir Muzakarah:
6 Apr, 2006
Oleh:
Muzakarah Kali Ke-73
Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-73 yang bersidang pada 4 - 6 April 2006 telah membincangkan Hukum Suntikan Botulinum Toxin Type A (BTA). Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Setelah meneliti laporan kajian dari dalam dan luar negara serta hujah-hujah yang jelas dalam pengeluaran fatwa oleh beberapa negara Islam lain, Botulinum Toxin Type A atau nama komersialnya botox didapati mengandungi bahan-bahan yang meragukan, najis dan diharamkan, antara bahan-bahannya ialah khinzir.
  2. Suntikan Botulinum Toxin Type A atau nama komersialnya botox ini juga didapati boleh memberi mudharat kepada pengguna bagi jangka pendek, jangka panjang dan boleh dimanipulasikan untuk tujuan penipuan.
  3. Berdasarkan kepada penemuan-penemuan seperti yang dinyatakan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa suntikan Botulinum Toxin Type A atau nama komersialnya botox adalah haram digunakan.
  4. Walaubagaimanapun untuk tujuan perubatan, suntikan Botulinum Toxin Type A ini adalah dibenarkan dengan syarat penggunaannya dalam keadaaan darurat dan mengikut keperluan serta dilakukan oleh pakar yang bertauliah.

Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam


Sumber:
JAKIM(http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-orang-islam-mengucapkan-tahniah-dan-ucapan-selamat-bersempena-perayaan-agama-)
Tarikh Keputusan:
12 Jun, 2007

Tarikh Mula Muzakarah:
12 Jun, 2007
Tarikh Akhir Muzakarah:
12 Jun, 2007
Oleh:
Muzakarah Kali Ke-78
Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
  2. Walaubagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
  3. Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mail atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

17 Jun 2010

Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine

Sumber:
JAKIM(http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-penggunaan-ubat-clexane-dan-fraxiparine)
Tarikh Keputusan:
23 Jun, 2009
Tarikh Mula Muzakarah:
23 Jun, 2009
Tarikh Akhir Muzakarah:
25 Jun, 2009
Oleh:
Muzakarah Kali Ke-87
Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Islam menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram bagi mengubati sesuatu penyakit, kecuali dalam keadaan di mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui dan bagi menghindari kemudharatan mengikut kadar yang diperlukan sahaja sehingga ubat dari sumber yang halal ditemui.

Oleh itu, berhubung dengan penggunaan ubat Clexane dan Fraxiparine yang dianggap darurat kepada para pesakit bagi mencegah formulasi pembekuan darah secara serta merta ketika pesakit berada pada tahap kronik, Muzakarah memutuskan bahawa penggunaan kedua-dua jenis ubat ini adalah ditegah kerana ia dihasilkan dari sumber yang diharamkan oleh Islam, memandangkan pada masa ini telah terdapat alternatif ubat iaitu Arixtra yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine.

Keterangan/Hujah:
  1. Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah mengesahkan wujudnya enzim babi dalam kandungan kedua-dua jenis ubat tersebut. Ini kerana kedua-dua jenis ubat ini terbentuk daripada low molecular weight heparin (LMWH) yang merupakan unsur yang terbentuk daripada heparin. Heparin merupakan sumber biologi yang diambil daripada usus babi.

  2. Islam mengharamkan penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

    Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara- perkara) yang haram.

  3. Dalam keadaan tiada ubat lain yang boleh digunakan untuk mengubati sesuatu penyakit, sedangkan sesuatu penyakit itu perlu dirawat untuk memelihara kesihatan diri dan tubuh badan, ubat yang bersumberkan perkara-perkara yang ditegah seperti penggunaan ubat yang bersumberkan enzim babi diharuskan selama mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui mengikut kadar yang diperlukan sahaja.

  4. Dalam mempertimbangkan keharusan ini, syarat-syarat untuk memastikan bahawa keperluan tersebut berada di peringkat darurat perlu dipenuhi. Antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

    (i) Darurat itu benar-benar berlaku, bukan suatu yang tidak pasti. Dengan kata lain telah berlaku atau wujud satu keadaan di mana kemusnahan atau kemudharatan pada lima perkara asas ataupun kemusnahan akan berlaku secara pasti ataupun berdasarkan kepada sangkaan yang kuat berpandukan pengalaman- pengalaman atau pengetahuan;

    (ii) Seseorang yang berada dalam keadaan darurat itu bertentangan dengan perintah atau larangan syarak, atau tidak terdapat sesuatu yang diharuskan oleh syarak untuk menghilangkan kemudharatan melainkan perkara yang ditegah;

    (iii) Mestilah dipastikan bahawa kewujudan benda-benda halal yang lain tidak dapat menghindarkan kemudharatan yang menimpa pesakit;

    (vi) Pengambilan yang haram itu sekadar keperluan sahaja; dan

    (v) Pada waktu pengubatan, pengambilan yang haram itu hendaklah dipasti dan perakui oleh seorang doktor pakar muslim yang adil.

  5. Dalam isu ubat clexane dan Fraxiaprine ini, kajian yang telah dijalankan mendapati terdapat sejenis ubat lain iaitu Arixtra Solution For Injection atau nama generiknya Fondaparinux Sodium mempunyai tahap keupayaan yang tinggi dalam membantu mengelakkan masalah pembekuan darah. Ubat ini telah pun berdaftar dengan BPFK dengan nombor pendaftaran MAL 20034441A.

  6. Fondaparinux merupakan ramuan aktif di dalam Arixtra yang terhasil secara sintetik di manapentasaccharide sintetik diambil dan ia tidak mengandungi sebarang bentuk heparin. Malah, tiada satu pun material dalam penghasilan ubat ini diambil daripada haiwan termasuklah biproduk babi. Arixtra bukan ubat yang baru ditemui, sebaliknya ia telah berada di pasaran lebih daripada 10 tahun. Namun kajiannya yang terbaru telah mendapati bahawa ubat ini mampu menggantikan kekuatan Clexane dan Fraxiaprine.

  7. Arixtra digunakan untuk mengelakkan pembekuan darah atau masalah VTE bagi pesakit yang menjalani rawatan pembedahan major ortopedik, lutut dan pinggang. Selain itu, ia juga digunakan bagi pesakit jantung, pesakit kronik yang tidak dapat bergerak dan pembedahan abdomen.

  8. Penemuan Arixtra dalam dunia perubatan hari ini telah menghapuskan `illah pengharusan penggunaan perkara yang ditegah. Perkara ini bersesuaian dengan kaedah fiqh ما جاز لعذر يبطل بزواله. Prinsip ini menetapkan bahawa keharusan sesuatu perkara itu adalah disebabkan keuzuran tertentu dan ia terbatal dengan hilangnya keuzuran tersebut.

Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid


Sumber:
JAKIM(http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-pelancong-bukan-islam-memasuki-masjid-dan-ruang-solat-utama-di-dalam-masjid)
Tarikh Keputusan:
1 Mar, 2010
Tarikh Mula Muzakarah:
1 Mar, 2010
Tarikh Akhir Muzakarah:
1 Mar, 2010
Oleh:
Muzakarah Kali Ke-90

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak


Sumber:
JAKIM(http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-pemakaian-inai-bercorak-mengikut-syarak)
Tarikh Keputusan:
2 Oct, 2009
Tarikh Mula Muzakarah:
2 Oct, 2009
Tarikh Akhir Muzakarah:
2 Oct, 2009
Oleh:
Muzakarah Kali Ke-88

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.