Memaparkan catatan dengan label Soal jawab fiqh medik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Soal jawab fiqh medik. Papar semua catatan

31 Ogos 2010

Saya tahu rokok haram,tapi kenapa x leh merokok masa puasa???


Soalan : Saya tahu bahawa merokok diharamkan oleh sebahagian ulama’. Bagaimanapun, saya ingin bertanya sebab rokok diharamkan semasa puasa. Apabila seseorang merokok, dia tidak memasukkan cecair atau makanan ke mulutnya.

Jawapan : Merokok adalah haram, maka tidak dinafikan lagi ia juga dilarang ketika berpuasa.

Berhubung sebab mengapa merokok membatalkan puasa, ini kerana rokok mengandungi partikel yang sampai ke perut.

Syaikh Ibn Uthaymin pernah ditanya mengenai orang berpuasa yang menghidu wangian perfum. Katanya;

“Adalah dibenarkan untuk menggunakan dan menghidu wangian perfum semasa siang Ramadan, kecuali asap kemeyan (atau gaharu). Asap kemeyan dan gaharu ini mengandungi partikel yang sampai ke perut, iaitu dari asapnya.”

(Fatawa Islamiyyah, 2/128)

Menghisap rokok seperti juga menghidu asap kemeyan dan gaharu, kerana kedua-duanya mengandungi partikel-partikel. Namun kedua-duanya berbeza dalam hukum asasnya; menghidu kemeyan adalah halal dan baik, sedangkan merokok haram dan mendatangkan keburukan.

Sumber : Diterjemah dan disunting dari http://islamqa.com

:http://fiqhmedic.wordpress.com/

25 Jun 2010

Boleh x berubat dengan arak?


Soalan:Bolehkah menggunakan arak sebagai ubat untuk merawat penyakit?

Jawapan:

Dalam perubatan Cina tradisional arak bersifat menghangatkan dan melancarkan perjalanan darah sehingga boleh menguatkan kesan perubatan. Lebih-lebih pada kes penyakit ‘yin/dingin’ dan gangguan perjalanan darah.[1]

Bagaimanakah pandangan Islam mengenai perubatan dengan arak?

Perlu diketahui, majoriti ulama mengharamkan berubat dengan Arak (iaitu sesuatu yang memabukkan) seperti arak. Alasan terlarangnya hal ini adalah sebagai berikut.

Pertama: Hadis Thoriq bin Suwaid Al Ju’fi

Thoriq bin Suwaid Al Ju’fi pernah bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam mengenai Arak. Kemudian baginda saw melarang atau tidak suka untuk menggunakannya. Kemudian Thoriq mengatakan bahawa Arak itu hanya akan digunakan sebagai ubat. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam lantas mengatakan,

إِنَّهُ لَيْسَ بِدَوَاءٍ وَلَكِنَّهُ دَاءٌ

Sesungguhnya Arak bukanlah ubat, namun sebenarnya dia adalah penyakit.[2]

Syaikhul Islam Ibnu Taimiah mengatakan, “Inilah dalil tegas yang melarang berubat dengan Arak dan sebagai bantahan kepada orang yang membolehkannya. Begitu pula dengan benda-benda haram lainnya berlaku demikian (terlarang digunakan untuk berubat) dengan alasan qias (analogi). Hal ini berbeza dengan orang yang membezakan antara keduanya.”[3]

Sungguh sangat aneh jika ada sebahagian doktor muslim yang membolehkan berubat dengan Arak (arak) sedangkan Nabinya sendiri mengatakan bahawa Arak itu adalah penyakit!

Kedua: Hadis Abu Darda’

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّوَاءَ وَأَنْزَلَ الدَّاءَ وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلَا تَتَدَاوَوْا بِحَرَامِ

Sesungguhnya Allah menurunkan ubat dan Dia juga menurunkan penyakit. Allah menjadikan ubat pada setiap penyakit. Oleh kerana itu, berubatlah. Namun janganlah kalian berubat dengan yang haram. ”[4]

Ketiga: Hadis Abu Hurairah

Dari Abu Hurairah, beliau mengatakan,

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الدَّوَاءِ بِالْخَبِيثِ

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang menggunakan ubat yang khobis (kotor).[5]

Inilah dalil-dalil yang menunjukkan larangan berubat dengan yang haram secara umum dan menunjukkan pula terlarangnya menggunakan Arak (arak) secara khusus.

Satu kekeliruan

Mungkin ada yang menanyakan, “Kenapa dalam masalah perubatan dengan Arak tidak masuk dalam kaedah Ushul Fiqih: “Keadaan darurat membolehkan sesuatu yang terlarang”?”[6]

Jawapannya:

Pertama, berubat bukanlah termasuk perkara darurat daripada pelbagai pendapat ulama yang lebih kuat dan berubat bukanlah suatu kewajipan menurut majoriti ulama. Sampai-sampai Syaikhul Islam Ibnu Taimiah mengatakan,

وَلَسْتُ أَعْلَمُ سَالِفًا أَوْجَبَ التداوي

“Aku tidak mengetahui satu ulama salaf (ulama terdahulu) yang mewajibkan untuk berubat.”[7]

Syaikh Muhammad bin ‘Ibrahim Alu Syaikh rahimahullah mengatakan, “Hukum asal berubat adalah dibolehkan, namun bukanlah wajib. Maka tidak boleh seseorang berubat dengan yang terlarang kerana alasan melakukan sesuatu yang dibolehkan.”[8]

Dalil pendukung hal ini adalah hadis Ibnu ‘Abbas mengenai wanita hitam yang mendatangi Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.

فَقَالَتْ إِنِّى أُصْرَعُ ، وَإِنِّى أَتَكَشَّفُ فَادْعُ اللَّهَ لِى . قَالَ « إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الْجَنَّةُ وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ » . فَقَالَتْ أَصْبِرُ . فَقَالَتْ إِنِّى أَتَكَشَّفُ فَادْعُ اللَّهَ أَنْ لاَ أَتَكَشَّفَ ، فَدَعَا لَهَا .

Wanita tersebut mengatakan, “Aku sering menderita penyakit sawan sehingga auratku sering terbuka. Berdoalah pada Allah untukku.” Baginda berkata, “Jika engkau mahu, bersabarlah maka bagimu syurga. Dan jika engkau mahu, aku akan berdoa kepada Allah untuk menyembuhkanmu.” Wanita tersebut mengatakan, “Kalau begitu aku memilih untuk bersabar. Sesungguhnya auratku sering tersingkap (ketika sawan), maka berdoalah pada Allah agar auratku tidak tersingkap ketika itu.” Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam mendoakan wanita tadi (agar auratnya tidak tersingkap).[9]

Seandainya berubat itu wajib, tentu Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak perlu memberi pilihan di dalam hadis di atas.

Asy Syaukani mengatakan, “Tidak berubat lebih utama jika seseorang mampu untuk bersabar.”

Murid Asy Syaukani, Shidiq Hasan Khan mengatakan, “Lebih utama jika seseorang mampu untuk bersabar. Alasannya kerana di dalam hadis di atas Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam mengatakan, “Jika mahu, engkau lebih baik untuk bersabar.” Namun jika tidak mampu untuk bersabar terhadap sakit yang diderita dan merasakan sempit ketika menahan sakit, dalam keadaan ini berubat lebih utama kerana keutamaan tidak berubat tiada jika tidak mampu bersabar.”[10]

Kedua, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam telah menegaskan mengenai haramnya berubat dengan Arak, sebagaimana telah disebutkan dalam hadis yang telah lalu.[11]

Kesimpulan: Arak (contoh arak) tidak boleh digunakan untuk berubat.

PERHATIAN: Perbahasan ini berbeza dengan Perbahasan menggunakan ubat atau antiseptik yang mengandungi alkohol.

Sumber:http://soaljawab.wordpress.com/2010/01/27/bolehkah-berubat-dengan-arak/

24 Jun 2010

Solat Jama’ Bagi Pesakit & Doktor


Soalan: Bagaimana cara mengerjakan solat jamak, dan apakah keadaan-keadaan yang membolehkannya?

Jawapan:Supaya tidak terkeliru, terlebih dahulu saya terangkan maksud jamak. Iaitu menghimpunkan dua solat pada satu waktu. Solat-solat yang diizinkan syarak untuk dihimpunkan itu ialah, Zohor bersama Asr dan Maghrib bersama Isyak. Adapun qasar bermaksud meringkaskan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat. Qasar diizinkan untuk mereka yang bermusafir. Keizinan jamak lebih luas daripada keizinan qasar. Di mana seseorang boleh menjamakkan solatnya sekalipun dia tidak bermusafir disebabkan keadaan-keadaan tertentu, tetapi dia tidak boleh menqasarkannya. Ertinya dalam keadaan tertentu dia boleh menunaikan solat Asr dalam waktu Zohor iaitu selepas ditunaikan empat rakaat Zohor, dia menunaikan pula empat rakaat Asr. Demikian juga dia boleh melakukannya pada waktu Asr, dengan cara melewatkan Zohor. Begitu juga Maghrib dan Isyak. Dalam hadith yang diriwayatkan al-Imam Muslim, Ibn ‘Abbas menyebut: “RasululLah s.a.w solat jamak Zohor dan Asr, Maghrib dan Isyak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana musafir”. Ditanya Ibn ‘Abbas mengapa baginda melakukan demikian?. Jawabnya: “Kerana tidak mahu menyusahkan umatnya”. Dalam riwayat yang lain daripada Muslim juga disebut: “Baginda jamakkan solat tidak disebabkan katakutan atau hujan”.

Hadith-hadith yang seumpama ini memberi kesimpulan kepada para fuqaha (ulama fekah) bahawa solat jamak boleh dilakukan disebabkan keuzuran-keuzuran tertentu, seperti sakit yang menyusahkannya, atau hujan bagi mereka bersolat jamaah di masjid, kesempitan waktu dan seumpamanya.

Hal-hal ini seperti mereka yang sakit yang menyukarkannya berwuduk atau bergerak maka bolehlah dia menjamakkan solatnya. Mereka yang terlibat dalam urusan-urusan yang tidak dapat ditinggalkan seperti pembedahan, menjaga lalu lintas, mengendalikan urusan yang bahaya, atau peralatan yang bahaya, terlibat dengan peperiksaan yang tidak ada pilihan lagi. Demikian juga bagi wanita yang bermusafir dengan bas awam yang menyusahkannya bersolat di tengah perjalanan, maka dia boleh menjamakkan solat sejak di rumahnya, tanpa qasar. Begitulah juga dengan semua keadaan yang menyukarkan seseorang. Namun hendaklah dia mengutamakan menanaikan solat berdasarkan waktunya terlebih dahulu, jika benar-benar menyukarkan dan dia tidak mempunyai pilihan maka ketika itu diizin.

Kitab-kitab fekah penuh memuatkan masalah ini, terutamanya dalam mazhab al-Imam Ahmad bin Hanbal. Antara Ibn Taimiyyah dalam al-Fatawa al-Kubra (2/348, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut ) dan kitab-kitab lain. Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut perkara ini dalam Fatwa Mu‘asarah (1/245, cetakan Dar Uli al-Nuha, Beirut ).

Sumber : http://drmaza.com dengan judul asal Cara & Sebab Solat Jamak

:http://fiqhmedic.wordpress.com/2008/01/13/solat-jama-bagi-pesakit-doktor/

21 Jun 2010

Hukum Suntikan Imunisasi


Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz ditanya : Apakah hukum berubat dengan imunisasi sebelum ditimpa apa-apa penyakit?

Jawapan:
La ba’sa (tiada masalah) berubat dengan cara seperti itu jika dikhuatiri ditimpa penyakit kerana adanya wabak atau sebab-sebab lainnya. Dan tidak masalah menggunakan ubat untuk menolak atau menghindari wabak yang dikhuatiri akan merebak. Hal ini berdasarkan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam di dalam hadits shahih.

“Ertinya : Barangsiapa makan tujuh butir kurma Madinah pada pagi hari, dia tidak akan terkena pengaruh buruk sihir atau racun”

Ini termasuk tindakan mencegah penyakit sebelum terjadi. Demikian juga jika dikhuatiri timbulnya suatu penyakit dan dilakukan imunisasi untuk melawan penyakit yang muncul di suatu tempat atau di mana saja, maka hal itu tidak masalah, kerana hal itu termasuk tindakan pencegahan. Sebagaimana penyakit yang datang diubati, demikian juga penyakit yang dikhuatiri kemunculannya.

Tetapi tidak boleh menggunakan tangkal-tangkal untuk menghindari penyakit, jin atau pengaruh mata yang jahat. Ini kerana Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam melarang daripada perbuatan itu. Beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam sudah menjelaskan itu termasuk syirik kecil. Kewajipan kita harus menghindarinya.

(Fatawa Syaikh Abdullah bin Baz. Disalin dari Majalah As-Sunnah Edisi 03/Tahun X/1427/2006M. Dikutip dari kitab Al-Fatawa Al-Muta’alliqah bi Ath-Thibbi wa Ahkami Al-Mardha, hal. 203. DArul Muayyad, Riyadh)

Sumber: http://soaljawab.wordpress.com

19 Jun 2010

Hukum Penggunaan Ubat Anti Tekanan


Soalan : Bolehkah seorang yang mengalami tekanan khususnya terkanan selepas bersalin (post-partum depression) mengambil ubat (dadah) anti tekanan yang disyorkan oleh pakar psikologi non-Muslim.

Dijawab oleh Sheikh `Abd Allah al-Zâyidî, Professor di Universiti al-Imâm

Ubat penggalak Serotonin seperti Prozac dan pelbagai jenis ubat anti tekanan lain adalah dibenarkan jika dia disyorkan oleh doktor yang layak.

Kebenaran ini bergantung kepada situasi di mana ubat (dadah) tersebut benar-benar diperlukan oleh pesakit. Ubat tersebut juga perlu dipastikan tidak menyebabkan keracunan atau ketagihan.

Dan ALLAH mengetahui yang terbaik.

Sumber : http://islamtoday.com

:http://fiqhmedic.wordpress.com/2008/05/13/ubat-anti-tekanan/


Hukum Pemindahan Jantung Dan Mata



Soalan:Bolehkah orang muslim terlibat dalam pemindahan jantung dan mata?


Pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:

a)Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.

b)Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.

c)Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.

d)Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya didalam kematian akibat kemalangan.

Sumber : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Pertama

: http://fiqhmedic.wordpress.com/2009/05/07/pemindahan-jantung-dan-mata/

17 Jun 2010

Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine

Sumber:
JAKIM(http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-penggunaan-ubat-clexane-dan-fraxiparine)
Tarikh Keputusan:
23 Jun, 2009
Tarikh Mula Muzakarah:
23 Jun, 2009
Tarikh Akhir Muzakarah:
25 Jun, 2009
Oleh:
Muzakarah Kali Ke-87
Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Islam menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram bagi mengubati sesuatu penyakit, kecuali dalam keadaan di mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui dan bagi menghindari kemudharatan mengikut kadar yang diperlukan sahaja sehingga ubat dari sumber yang halal ditemui.

Oleh itu, berhubung dengan penggunaan ubat Clexane dan Fraxiparine yang dianggap darurat kepada para pesakit bagi mencegah formulasi pembekuan darah secara serta merta ketika pesakit berada pada tahap kronik, Muzakarah memutuskan bahawa penggunaan kedua-dua jenis ubat ini adalah ditegah kerana ia dihasilkan dari sumber yang diharamkan oleh Islam, memandangkan pada masa ini telah terdapat alternatif ubat iaitu Arixtra yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine.

Keterangan/Hujah:
  1. Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah mengesahkan wujudnya enzim babi dalam kandungan kedua-dua jenis ubat tersebut. Ini kerana kedua-dua jenis ubat ini terbentuk daripada low molecular weight heparin (LMWH) yang merupakan unsur yang terbentuk daripada heparin. Heparin merupakan sumber biologi yang diambil daripada usus babi.

  2. Islam mengharamkan penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

    Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara- perkara) yang haram.

  3. Dalam keadaan tiada ubat lain yang boleh digunakan untuk mengubati sesuatu penyakit, sedangkan sesuatu penyakit itu perlu dirawat untuk memelihara kesihatan diri dan tubuh badan, ubat yang bersumberkan perkara-perkara yang ditegah seperti penggunaan ubat yang bersumberkan enzim babi diharuskan selama mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui mengikut kadar yang diperlukan sahaja.

  4. Dalam mempertimbangkan keharusan ini, syarat-syarat untuk memastikan bahawa keperluan tersebut berada di peringkat darurat perlu dipenuhi. Antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

    (i) Darurat itu benar-benar berlaku, bukan suatu yang tidak pasti. Dengan kata lain telah berlaku atau wujud satu keadaan di mana kemusnahan atau kemudharatan pada lima perkara asas ataupun kemusnahan akan berlaku secara pasti ataupun berdasarkan kepada sangkaan yang kuat berpandukan pengalaman- pengalaman atau pengetahuan;

    (ii) Seseorang yang berada dalam keadaan darurat itu bertentangan dengan perintah atau larangan syarak, atau tidak terdapat sesuatu yang diharuskan oleh syarak untuk menghilangkan kemudharatan melainkan perkara yang ditegah;

    (iii) Mestilah dipastikan bahawa kewujudan benda-benda halal yang lain tidak dapat menghindarkan kemudharatan yang menimpa pesakit;

    (vi) Pengambilan yang haram itu sekadar keperluan sahaja; dan

    (v) Pada waktu pengubatan, pengambilan yang haram itu hendaklah dipasti dan perakui oleh seorang doktor pakar muslim yang adil.

  5. Dalam isu ubat clexane dan Fraxiaprine ini, kajian yang telah dijalankan mendapati terdapat sejenis ubat lain iaitu Arixtra Solution For Injection atau nama generiknya Fondaparinux Sodium mempunyai tahap keupayaan yang tinggi dalam membantu mengelakkan masalah pembekuan darah. Ubat ini telah pun berdaftar dengan BPFK dengan nombor pendaftaran MAL 20034441A.

  6. Fondaparinux merupakan ramuan aktif di dalam Arixtra yang terhasil secara sintetik di manapentasaccharide sintetik diambil dan ia tidak mengandungi sebarang bentuk heparin. Malah, tiada satu pun material dalam penghasilan ubat ini diambil daripada haiwan termasuklah biproduk babi. Arixtra bukan ubat yang baru ditemui, sebaliknya ia telah berada di pasaran lebih daripada 10 tahun. Namun kajiannya yang terbaru telah mendapati bahawa ubat ini mampu menggantikan kekuatan Clexane dan Fraxiaprine.

  7. Arixtra digunakan untuk mengelakkan pembekuan darah atau masalah VTE bagi pesakit yang menjalani rawatan pembedahan major ortopedik, lutut dan pinggang. Selain itu, ia juga digunakan bagi pesakit jantung, pesakit kronik yang tidak dapat bergerak dan pembedahan abdomen.

  8. Penemuan Arixtra dalam dunia perubatan hari ini telah menghapuskan `illah pengharusan penggunaan perkara yang ditegah. Perkara ini bersesuaian dengan kaedah fiqh ما جاز لعذر يبطل بزواله. Prinsip ini menetapkan bahawa keharusan sesuatu perkara itu adalah disebabkan keuzuran tertentu dan ia terbatal dengan hilangnya keuzuran tersebut.

15 Jun 2010

Wanita Bujang Menyusukan Anak Angkat


Soalan : Saya ingin mengetahui hukum apabila seorang yang belum berkahwin, mengambil anak angkat, memberikan susu dada kepada anak angkatnya dengan cara menelan pil untuk menghasilkan susu dada. Harap pihak JAKIM dapat menjawab dengan secepat yang mungkin. Terima kasih.

Jawapan;

Menurut Panel Kajian Syariah JAKIM 3/41/PKS/2002, Pada 14 – 15 Oktober 2002,Hukum menggunakan ubat atau suntikan untuk merangsang pengeluaran susu badan wanita adalah harus dengan syarat:

i. Seorang wanita tidak termasuk wanita yang dihasilkan melalui pertukaran jantina.
ii. Wanita yang telah baligh.

Berdasarkan kepada kenyataan di atas harus ibu angkat memberikan susu dada kepada anak angkatnya dengan cara menelan pil untuk menghasilkan susu.

Sumber:-

=Soal Jawab Agama JAKIM, http://baheis.islam.gov.my, Nombor Rujukan – PANEL SJAI 050707

=http://fiqhmedic.wordpress.com/2008/05/31/wanita-bujang-menyusukan-anak-angkat/

Khitan anak lelaki sewaktu masih bayi


Soalan:

Assalamualaikum ustaz,

Apakah hukum mengkhitan seorang anak laki-laki semasa dia masih lagi bayi yang baru beberapa hari dilahirkan? Tidakkah perbuatan itu menyamai amalan Yahudi? Apakah baik-buruk perbuatan tersebut terhadap bayi dari segi kesihatan serta psikologi?

Jawapan:

Khitan dari sudut bahasa beerti memotong dan dari sudut istilah iaitu memotong kulit (Qulfah) yang menutupi kepala dzakar bagi lelaki dan memotong sedikit daging yang berada di bahagian atas faraj (clitoris) bagi wanita. Hukum bersunat bagi lelaki adalah wajib manakala bagi wanita terdapat khilaf antara sunat, al-fadhilah (kemuliaan) dan wajib. (Syarah Sahih Muslim 1/543 dan Fathul Bari 10/340).

Dari sudut sejarah, ianya merupakan tradisi lama yang diwarisi semenjak sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w lagi. Menurut beberapa catatan sejarah dunia, ada pendapat yang mengatakan ianya berlaku semenjak zaman Baginda Nabi Ibrahim a.s lagi . Ada yang mengatakan ianya merupakan tradisi masyarakat Arab sebelum Islam lagi, dan tok mudim yang terkenal di era-sebelum Islam itu bernama “ Ummu Anmar” sebagaimana menurut catatan Imam Al-Bukhari di dalam sahihnya. Tradisi ini terus terlaksana apabila datangnya Baginda Rasulullah s.a.w dan diakui pula oleh Islam sebagai salah-satu tuntutan agama. Umat Muhammad saw diperintah untuk mengikutinya, sebagaimana ditegaskan oleh Allah SWT dalam FirmanNya:


Maksudnya: “kemudian Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad): hendaklah Engkau menurut agama Nabi Ibrahim dan tidaklah ia dari kalangan orang-orang musyrik”.
(An-Nahl: 123)

Sabda nabi SAW:
عن ابي هريرة رضي الله عنه قال : قاال رسول الله صلي الله عليه وسلم : خمس من الفطرة : الاستحداد، والختان، وقص الشارب، ونتف الابط، وتقليم الأظفار.

Dari Abu Harairah r.a berkatanya: Rasulullah saw bersabda; “lima perkara yang termasuk fitrah iaitu: mencukur bulu kemaluan, khitan, memotong kumis, mencabut bulu ketiak, dan memotong kuku.”
(HR; Bukhari dan Muslim)

Terdapat beberapa hadis yang boleh dijadikan panduan dalam menentukan waktu melakukan khitan antaranya;

  1. Dari Jabir bin ‘Abdillah ra; bahawa Rasulullah saw melaksanakan aqiqah Hasan dan Husain serta mengkhitan keduanya pada hari ketujuh.(HR; Thabrani dan Baihaqi)
  2. Dari Ibnu ‘Abbas ra berkata, “Terdapat tujuh perkara yang termasuk sunnah dilakukan bayi pada hari ketujuh: Diberi nama, dikhitan,….” (HR; Thabrani)
  3. Dari Abu Ja’far ra berkata, “Fathimah melaksanakan aqiqah anaknya pada hari ketujuh. Beliau juga mengkhitan dan mencukur rambutnya serta mensedakahkan perak seberat timbangan rambutnya.” (HR; Ibnu Abi Syaibah)

Terdapat juga hadith yang menceritakan khitan yang dilakukan oleh para sahabat ketika si anak mencapai usia mumaiyiz (5 – 7 tahun).

Ibnu ‘Abbas ra bahawa beliau pernah ditanya, “bagaimanakah kamu ketika Rasulullah saw meninggal dunia ?” Beliau menjawab, “Saat itu saya baru dikhitankan. Malah para sahabat tidak melakukan khitan kepada anak-anak mereka kecuali setelah mereka mengerti sesuatu.” (HR; Bukhari, Ahmad, dan Thabrani).

Hadith ini menjadi sandaran kepada mazhab Syafi'i dan Hanbali yang berpendapat khitan dilakukan ketika usia baligh kerana khitan bertujuan untuk menyempurnakan thaharah (bersuci) dalam beribadah dan ketika ini mereka mula ditaklifkan seperti solat dan kefardhuan yang lain.

Sebagai kesimpulan Imam Al-Mawardzi berkata; ”Khitan itu memiliki dua waktu, waktu wajib dan waktu sunnah. Waktu wajib adalah ketika usia baligh, dan waktu sunnah adalah sebelumnya. Ibnu Hajar mentarjihkan waktu yang paling baik melakukan khitan adalah pada hari ketujuh setelah kelahiran dan tidak melambat-lambatkan khitan sehingga waktu wajib kecuali terdapata keuzuran atau sebab-sebab tertentu. (Fathul Bari 10/342).

Pendapat-pendapat di atas turut disokong oleh pengamal perubatan moden yang berpendapat umur antara sehari hingga sebulan adalah yang terbaik untuk bersunat. Lebih sesuai pada hari kedua selepas bayi dilahirkan kerana dapat mengurangkan kesakitan bayi. Mereka berpendapat;

i. “Komplikasi di kalangan bayi lebih rendah, berbanding kanak-kanak yang disunatkan pada usia lebih tua kerana pada usia kurang dari satu bulan, manakala kesakitan yang dirasai juga tidak sesakit berbanding umur selepas sebulan,’’

ii. Kanak-kanak lelaki berusia enam atau tujuh tahun menjadi lebih lasak dan pada usia ini mereka sudah merasai kesakitan dan sukar membendung perasaan tersebut.

iii. Proses penyembuhan bagi bayi lebih cepat mengambil masa kira-kira tiga hingga empat hari sahaja berbanding kanak-kanak yang berusia enam atau tujuh tahun.

(Dr. Mohd. Tasron Surat- Sunathrone Bio-Medical)

والله أعلم بالصواب

Disediakan oleh:
Ustaz Dr Ridzuan Ahmad
Ahli Panel MUIS(Majlis Ulama ISMA)

14 Jun 2010

Menyuntik Hormon Pertumbuhan Untuk Tinggi


Soalan : Adakah boleh untuk mengambil suntikan hormon pertumbuhan untuk meninggikan ketinggian seseorang?

Dijawab oleh Sheikh `Abd al-Rahmân al-Jar`î, Professor di King Khâlid University, Abhâ

Saya berpegang dengan pendapat bahawa mengambil suntikan sebegini adalah dibenarkan jika berjumpa dengan dua keadaan berikut;

  1. Terdapat laporan perubatan yang jelas yang memerlukannya, contohnya apabila seseorang itu rendah atau pendek secara berlebihan dan nyata dalam keadaan sangat tidak normal. Dalam kes ini, suntikan sedemikian dikira sebagai rawatan perubatan.
  2. Bahawa tidak terdapat bahaya dan mudarat jangka pendek atau panjang kepada pesakit akibat dari mengambil suntikan ini. Hal ini perlu ditentukan oleh doktor pakar yang dipercayai.

Menyebabkan kemudaratan adalah tidak dibenarkan. Rasul ALLAH s.a.w bersabda, ”Tidak boleh memudaratkan (diri sendiri) ataupun menyebabkan mudarat (kepada orang lain)”

Dan ALLAH mengetahui yang terbaik.

Sumber : Arkib Fatwa, http://islamtoday.com

:http://fiqhmedic.wordpress.com/2008/05/13/menyuntik-hormon-pertumbuhan- untuk-tinggi/

Menggugurkan bayi kerana sakit dan cacat


Soalan : Adakah dibenarkan untuk menggugurkan bayi atas perkiraan dia mengalami penyakit genetik atau pun cacat kekal apabila lahir? Bagaimanakah hal ini boleh ditentukan?

Dijawab oleh Sheikh `Abd al-Rahmân al-Jar`î, Professor di King Khâlid University, Abhâ

Jika ia sudah disahkan oleh sepasukan doktor yang pakar dengan bersandarkan asas keputusan ujian makmal dan klinikal bahawa janin (fetus) itu tidak normal, terjejas teruk, tidak dapat dirawat, dan andainya dia lahir diyakini dia akan menderita sepanjang hidup dan juga menyebabkan kesulitan kepada keluarganya, maka bayi itu boleh digugurkan sebelum berumur empat bulan (120 hari).

Ianya terletak kepada tanggungjawab bagi mereka yang berhak seperti doktor dan ibu bapanya untuk menentukan hal tersebut.

Ini adalah kesimpulan dari fatwa yang dikeluarkan oleh Komiti Perundangan Islam, Liga Muslim Sedunia dalam perjumpaan sesi ke-12 pada 15 Rejab 1410 H, oleh pandangan pendapat majoriti.

Dan ALLAH mengetahui yang terbaik.

Sumber: dialihbahasa dari Arkib Fatwa, http://islamtoday.com

soalan susulan:Saya ingin bertanyakan soalan dimana saya akan dipaksa bersalin atau inducee bagi mengeluarkan janin dimana usia kandungan saya 18 minggu atau 4 bulan setengah. di mana ia telah disahkan oleh sepasukan pakar yang mengatakan janin dalam kandungan mengalami kecacatan kekal dimana walaupun dialahirkan ia tidak dapat hidup dengan kata lain akan meninggal sebaik saja lahir. apakah hukumnya?


Sebelum menjawab soalan puan, perlu dijelaskan bahawa ‘induced abortion’ adalah pengguguran yang dilakukan dengan sengaja menggunakan rangsangan dadah ataupun paksaan mekanikal. Ia boleh dilakukan kerana pilihan sendiri ataupun tujuan perubatan. Pilihan sendiri untuk menggugurkan adalah HARAM di sisi Islam. Namun,
‘induced abortion’ diizinkan atas tujuan perubatan ‘therapeutic abortion’ sebagaimana berikut;

1. menyelamatkan nyawa perempuan mengandung
2. menjaga kesihatan fizikal & mental perempuan
3. menghentikan kehamilan yang membawa kelahiran bayi yang berisiko cacat kekal, seterusnya menyebabkan penyakit kronik atau kematian pada bayi.
4. memilih untuk mengurangkan jumlah janin untuk mengurangkan risiko kesihatan apabila terdapat kehamilan janin yang banyak ‘multiple pregnancy’

Puan memang dibolehkan bersalin paksa berdasarkan alasan No. 3, dan mungkin juga alasan No. 1 & 2 boleh diguna pakai dalam kes puan. Apatah lagi, mengikut keterangan puan yang ada, puan memang boleh meneruskan prosedur tersebut kerana memenuhi syarat-syarat berikut;

1. ia telah disahkan oleh sepasukan PAKAR yang mengatakan janin dalam kandungan mengalami kecacatan kekal
2. ia juga telah disahkan oleh PAKAR bahawa bayi tidak dapat hidup atau akan meninggal sebaik saja lahir.

Dalam kes ‘therapeutic abortion’ seperti puan ini, keputusan tidak boleh disandarkan dengan soal umur kandungan sebagai pertimbangan. Walaupun ada pandangan ulama’ melarang pengguguran selepas 120 hari, namun kes puan tidak tertakluk dengan pendapat ini kerana keadaan janin yang tidak normal dan mungkin membahayakan kesihatan puan.

Namun, dinasihatkan puan mendapatkan pandangan kedua dari pakar terutamanya dari doktor Muslim yang amanah. Bincangkan tentang risiko dan kaedah terbaik sama ada menggugurkan terus ataupun tunggu sahaja bersalin secara biasa. Tanyakan juga method terbaik dalam melaksanakan prosedur ini. Yang penting, kesihatan puan tidak terjejas.

Saya doakan moga puan selamat menjalani prosedur tersebut dan agar dimurahkan rezeki dengan kehadiran zuriat lain di masa depan. Syukran. WabiLLAHi Taufiq, WaLLAHu A’lam. Wassalam..

sumber:http://fiqhmedic.wordpress.com/2008/04/01/gugurkan-bayi-kerana-sakit-cacat/

13 Jun 2010

Hukum memakai braces


Soalan : Apa hukum pakai pendakap gigi? Adakah ia sama seperti mengubah kejadian ALLAH seperti tatoo?

Jawapan:

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, Insya-ALLAH.

Nabi sawbersabda :

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

“Allah melaknat wanita yang membuat tattoo dan wanita yang telah memakainya, wanita yang mencabut bulu diwajahnya dan wanita yang telah melakukannya, dan wanita yang meluaskan jarak diantara gigi mereka atau orang lain bagi tujuan kecantikan, menukar apa yang Allah telah ciptakan” – (Shahih Muslim #3966).

Imam Al-Nawawi rh didalam memberi komentar terhadap hadith diatas menjelaskan :-

( المتفلجات للحسن ) فمعناه يفعلن ذلك طلبا للحسن , وفيه إشارة إلى أن الحرام هو المفعول لطلب الحسن , أما لو احتاجت إليه لعلاج أو عيب في السن ونحوه فلا بأس والله أعلم .

“Meluaskan jarak gigi – maknanya sesuatu yang dilakukan keatas gigi bagi menjadi seseorang itu kelihatan cantik, dan ini menunjukkan bahawa ia adalah HARAM, iaitu apabila dilakukan bagi tujuan kecantikan, akan tetapi bagi merawat masalah yang berlaku kepada gigi, maka tidak ada salah melakukan, Dan ALLAH yang lebih tahu sebaiknya.”

Braces atau pendakap gigi ini adalah bertujuan membetulan kedudukan gigi atau merawat gigi, dan ia bukan dari larangan yang dinyatakan didalam hadith diatas yang dikategorikan sebagai mengubah ciptaan Allah.

Menurut Dr Rafa’at Fawzi Abdul Muttalib, Prof Universiti Dar al-Ulum, Braces yang membetulkan kerosakan gigi adalah dibenarkan.

Syeikh Faizal al-Moulawi, Naib Pengerusi Majlis Fatwa Eropah berkata :

تقويم الأسنان لأسباب صحية جائز شرعاً، بل قد يكون مطلوباً أيضاً

“Braces atau pendakap gigi bagi tujuan KESIHATAN adalah dibenarkan menurut syara’, bahkan ia juga diperlukan”

Menurut sekumpulan Mufti Islam Online : “As long as the bracing is done to fix a problem, then it is allowed and there is nothing wrong with it.”, iaitu selama mana pendakap itu membaiki sesuatu, maka ia dibenarkan.

———
Rujukan Fatwa :-

1. حكم تقويم الأسنان المعوجة
url : http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1187775926711

2. عمليات التجميل للضرورة الطبية
url : http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528615176

Fatwa didalam Bahasa Inggeris :-

http://www.islamonline.net/livefatwa/english/Browse.asp?hGuestID=3QU7bd

http://www.islamonline.net/livefatwa/english/Browse.asp?hGuestID=S5xA5N

Sumber:http://fiqhmedic.wordpress.com/2008/05/13/hukum-memakai-pendakap-

gigi-braces/

Hukum Euthanasia


Soalan : Assalamualaikum, Saya ingin mengutarakan soalan mengenai euthanasia. Adakah ia haram dalam Islam ?.

Jawapan:

Menurut Panel Kajian Syariah JAKIM Bil.PKS 5/18/PKS/97 bertarikh 10 -11 Jun 1997, membuat keputusan mengenai pertanyaan di atas adalah seperti berikut:

i. Haram membunuh tanpa hak. Berusaha mempercepatkan kematian dengan memberhentikan rawatan atau mengambil ubat-ubatan (racun) adalah umpama membunuh diri. Membunuh diri bermakna melawan kehendak ALLAH dan merampas haknya.

ii. Tugas seorang mukmin (doktor) adalah menolong saudaranya (pesakit) di dalam perkara kebaikan. Membantu mempercepatkan kematian tidak termasuk dalam perkara kebaikan tetapi tergolong dalam perkara yang mendatangkan keburukan dan dosa.

iii. Harus bagi para doktor memberikan ubat penahan sakit kepada pesakit jika tiada pilihan lain sekalipun ia mempunyai kesan sampingan yang boleh mempercepatkan kematian..

Sumber : Soal Jawab Agama JAKIM, http://baheis.islam.gov.my, Nombor Rujukan - PANEL SJAI 011107

Sumber:http://fiqhmedic.wordpress.com/2008/05/31/hukum-euthanasia/

11 Jun 2010

Memakai contact lense ketika berpuasa

Soalan : Saya ingin tahu hukum puasa apabila kita memakai contact lens. Apakah puasa saya terbatal?

Jawapan :

Di dalam Kitab Fiqh al-‘Ibadat, muka surat 191:

“Puasa orang yang memakai kanta sentuh atau contact lens tidak batal kerana ia tidak masuk ke perut dan bukan kategori makanan atau minuman. Dibolehkan juga menitikkan sebarang ubat mata atau telinga ketika berpuasa walaupun jika ia memasuki halkum. Ia bukan makan atau minum juga tidak termasuk makna makan atau minum.”

Wallahu alam.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

: http://fiqhmedic.wordpress.com/page/2/

Penggunaan inhaler ketika berpuasa

Soalan : Di beberapa farmasi ada inhaler yang digunakan oleh sebahagian pengidap athma. Adakah orang yang berpuasa boleh menggunakannya di siang hari Ramadhan?

Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin;

Menggunakan inhaler bagi yang berpuasa hukumnya boleh, sama ada ianya puasa Ramadhan ataupun yang lainnya. Kerana inhaler itu tidak sampai ke perut tapi hanya berfungsi melegakan saluran pernafasan dan penggunaannya pun hanya dengan bernafas seperti biasa. Jadi hal ini tidak seperti makan dan minum.

Sebagaimana diketahui, bahawa hukum asal puasanya adalah sah sampai ada dalil yang menunjukkan rosaknya puasa, baik dari Al-Kitab, As-Sunnah, Ijma’ ataupun Qiyas yang Sahih.

[Fadha’il Ramadhan, disusun oleh Abdurrazaq Hasan, Soalan no. 1]

[Disalin dari bukuAl-Fatawa Asy-Syar’iyyah Fi Al-Masa’il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram, edisi Indonesia Fatwa-Fatwa Terkini, Penerbit Darul Haq]

Sumber :Disunting dan dialihbahasa dari http://www.almanhaj.or.id/

: http://fiqhmedic.wordpress.com/

10 Jun 2010

Suntikan di siang hari waktu Ramadhan

Soalan:Apakah suntikan perubatan di siang hari bulan ramadhan mempengaruhi puasa?

Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin:

Suntikan perubatan ada dua jenis. Pertama, suntikan (infusion), yang mana dengan suntikan ini boleh mencukupi keperluan makan dan minum. Maka suntikan ini termasuk perkara yang membatalkan.

Adapun jenis yang kedua adalah suntikan yang tidak mengandungi zat makanan dan minuman. Jadi suntikan jenis ini bukan bererti seperti makan dan minum. Maka hukum puasanya sah sampai ada dalil syar’i yang menetapkan bahawa hal itu membatalkannya.

[Fatawa Ash-Shiyam, dikumpulkan oleh Muhammad Al-Musnad, hal. 58]

Sumber :Disunting dan dialihbahasa dari http://www.almanhaj.or.id/ dan

http://fiqhmedic.wordpress.com/2009/07/23/suntikan-di-siang-hari-ramadhan/