Soalan: Bagaimana cara mengerjakan solat jamak, dan apakah keadaan-keadaan yang membolehkannya?
Jawapan:Supaya tidak terkeliru, terlebih dahulu saya terangkan maksud jamak. Iaitu menghimpunkan dua solat pada satu waktu. Solat-solat yang diizinkan syarak untuk dihimpunkan itu ialah, Zohor bersama Asr dan Maghrib bersama Isyak. Adapun qasar bermaksud meringkaskan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat. Qasar diizinkan untuk mereka yang bermusafir. Keizinan jamak lebih luas daripada keizinan qasar. Di mana seseorang boleh menjamakkan solatnya sekalipun dia tidak bermusafir disebabkan keadaan-keadaan tertentu, tetapi dia tidak boleh menqasarkannya. Ertinya dalam keadaan tertentu dia boleh menunaikan solat Asr dalam waktu Zohor iaitu selepas ditunaikan empat rakaat Zohor, dia menunaikan pula empat rakaat Asr. Demikian juga dia boleh melakukannya pada waktu Asr, dengan cara melewatkan Zohor. Begitu juga Maghrib dan Isyak. Dalam hadith yang diriwayatkan al-Imam Muslim, Ibn ‘Abbas menyebut: “RasululLah s.a.w solat jamak Zohor dan Asr, Maghrib dan Isyak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana musafir”. Ditanya Ibn ‘Abbas mengapa baginda melakukan demikian?. Jawabnya: “Kerana tidak mahu menyusahkan umatnya”. Dalam riwayat yang lain daripada Muslim juga disebut: “Baginda jamakkan solat tidak disebabkan katakutan atau hujan”.
Hadith-hadith yang seumpama ini memberi kesimpulan kepada para fuqaha (ulama fekah) bahawa solat jamak boleh dilakukan disebabkan keuzuran-keuzuran tertentu, seperti sakit yang menyusahkannya, atau hujan bagi mereka bersolat jamaah di masjid, kesempitan waktu dan seumpamanya.
Hal-hal ini seperti mereka yang sakit yang menyukarkannya berwuduk atau bergerak maka bolehlah dia menjamakkan solatnya. Mereka yang terlibat dalam urusan-urusan yang tidak dapat ditinggalkan seperti pembedahan, menjaga lalu lintas, mengendalikan urusan yang bahaya, atau peralatan yang bahaya, terlibat dengan peperiksaan yang tidak ada pilihan lagi. Demikian juga bagi wanita yang bermusafir dengan bas awam yang menyusahkannya bersolat di tengah perjalanan, maka dia boleh menjamakkan solat sejak di rumahnya, tanpa qasar. Begitulah juga dengan semua keadaan yang menyukarkan seseorang. Namun hendaklah dia mengutamakan menanaikan solat berdasarkan waktunya terlebih dahulu, jika benar-benar menyukarkan dan dia tidak mempunyai pilihan maka ketika itu diizin.
Kitab-kitab fekah penuh memuatkan masalah ini, terutamanya dalam mazhab al-Imam Ahmad bin Hanbal. Antara Ibn Taimiyyah dalam al-Fatawa al-Kubra (2/348, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut ) dan kitab-kitab lain. Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut perkara ini dalam Fatwa Mu‘asarah (1/245, cetakan Dar Uli al-Nuha, Beirut ).
Sumber : http://drmaza.com dengan judul asal Cara & Sebab Solat Jamak
:http://fiqhmedic.wordpress.com/2008/01/13/solat-jama-bagi-pesakit-doktor/
24 Jun 2010
Solat Jama’ Bagi Pesakit & Doktor
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Haha. Isu forum Seindah Hiasan
BalasPadamisu forum dizahirkan ke penulisan blog..haha
BalasPadam