14 Jun 2010

Menggugurkan bayi kerana sakit dan cacat


Soalan : Adakah dibenarkan untuk menggugurkan bayi atas perkiraan dia mengalami penyakit genetik atau pun cacat kekal apabila lahir? Bagaimanakah hal ini boleh ditentukan?

Dijawab oleh Sheikh `Abd al-Rahmân al-Jar`î, Professor di King Khâlid University, Abhâ

Jika ia sudah disahkan oleh sepasukan doktor yang pakar dengan bersandarkan asas keputusan ujian makmal dan klinikal bahawa janin (fetus) itu tidak normal, terjejas teruk, tidak dapat dirawat, dan andainya dia lahir diyakini dia akan menderita sepanjang hidup dan juga menyebabkan kesulitan kepada keluarganya, maka bayi itu boleh digugurkan sebelum berumur empat bulan (120 hari).

Ianya terletak kepada tanggungjawab bagi mereka yang berhak seperti doktor dan ibu bapanya untuk menentukan hal tersebut.

Ini adalah kesimpulan dari fatwa yang dikeluarkan oleh Komiti Perundangan Islam, Liga Muslim Sedunia dalam perjumpaan sesi ke-12 pada 15 Rejab 1410 H, oleh pandangan pendapat majoriti.

Dan ALLAH mengetahui yang terbaik.

Sumber: dialihbahasa dari Arkib Fatwa, http://islamtoday.com

soalan susulan:Saya ingin bertanyakan soalan dimana saya akan dipaksa bersalin atau inducee bagi mengeluarkan janin dimana usia kandungan saya 18 minggu atau 4 bulan setengah. di mana ia telah disahkan oleh sepasukan pakar yang mengatakan janin dalam kandungan mengalami kecacatan kekal dimana walaupun dialahirkan ia tidak dapat hidup dengan kata lain akan meninggal sebaik saja lahir. apakah hukumnya?


Sebelum menjawab soalan puan, perlu dijelaskan bahawa ‘induced abortion’ adalah pengguguran yang dilakukan dengan sengaja menggunakan rangsangan dadah ataupun paksaan mekanikal. Ia boleh dilakukan kerana pilihan sendiri ataupun tujuan perubatan. Pilihan sendiri untuk menggugurkan adalah HARAM di sisi Islam. Namun,
‘induced abortion’ diizinkan atas tujuan perubatan ‘therapeutic abortion’ sebagaimana berikut;

1. menyelamatkan nyawa perempuan mengandung
2. menjaga kesihatan fizikal & mental perempuan
3. menghentikan kehamilan yang membawa kelahiran bayi yang berisiko cacat kekal, seterusnya menyebabkan penyakit kronik atau kematian pada bayi.
4. memilih untuk mengurangkan jumlah janin untuk mengurangkan risiko kesihatan apabila terdapat kehamilan janin yang banyak ‘multiple pregnancy’

Puan memang dibolehkan bersalin paksa berdasarkan alasan No. 3, dan mungkin juga alasan No. 1 & 2 boleh diguna pakai dalam kes puan. Apatah lagi, mengikut keterangan puan yang ada, puan memang boleh meneruskan prosedur tersebut kerana memenuhi syarat-syarat berikut;

1. ia telah disahkan oleh sepasukan PAKAR yang mengatakan janin dalam kandungan mengalami kecacatan kekal
2. ia juga telah disahkan oleh PAKAR bahawa bayi tidak dapat hidup atau akan meninggal sebaik saja lahir.

Dalam kes ‘therapeutic abortion’ seperti puan ini, keputusan tidak boleh disandarkan dengan soal umur kandungan sebagai pertimbangan. Walaupun ada pandangan ulama’ melarang pengguguran selepas 120 hari, namun kes puan tidak tertakluk dengan pendapat ini kerana keadaan janin yang tidak normal dan mungkin membahayakan kesihatan puan.

Namun, dinasihatkan puan mendapatkan pandangan kedua dari pakar terutamanya dari doktor Muslim yang amanah. Bincangkan tentang risiko dan kaedah terbaik sama ada menggugurkan terus ataupun tunggu sahaja bersalin secara biasa. Tanyakan juga method terbaik dalam melaksanakan prosedur ini. Yang penting, kesihatan puan tidak terjejas.

Saya doakan moga puan selamat menjalani prosedur tersebut dan agar dimurahkan rezeki dengan kehadiran zuriat lain di masa depan. Syukran. WabiLLAHi Taufiq, WaLLAHu A’lam. Wassalam..

sumber:http://fiqhmedic.wordpress.com/2008/04/01/gugurkan-bayi-kerana-sakit-cacat/

2 ulasan:

  1. terima kasih atas perkongsian maklumat..hehe~~

    BalasPadam
  2. afwan...semoga yg memberi dan yg menerima mendapat manfaat...insyaAllah

    BalasPadam